بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
Bulan Ramadhan: Pesta Juadah Atau Ibadah? Assalamualaikum... Syukur, Alhamdulillah kerana diberi kesihatan dan kesempatan untuk berkongsi sedikit perkongsian di hari Jumaat yang mulia ini, iaitu penghulu segala hari. Perkongsian yang sangat menarik dan sering dibahas agar menjadi ingatan dan pedoman buat kita semua agar tidak tergelincir dari matlamat sebenar mahupun desakan hawa nafsu dalam beribadah dan beramal di bulan Ramadhan ini.

Pada setiap kali Ramadhan tiba, dilema umat Islam terhadap isu ini pasti akan berulang. Semoga petikan khutbah Jumaat yang telah diringkaskan ini dapat dijadikan perkongsian yang paling bermanfaat untuk kita semua hayati serta jadikan panduan di sepanjang bulan Ramadhan Al Mubarak ini.

Bulan Ramadhan: Pesta Juadah Atau Ibadah?

Tajuk Khutbah Jumaat: “RAMADHAN; APAKAH PESTA JUADAH ATAU IBADAH?”. - http://e-masjid.jais.gov.my/

Kedatangan Ramadhan dinanti dan disambut dengan penuh keinsafan untuk mencari segala macam ganjaran pahala yang dijanjikan khusus oleh Allah SWT sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap amalan anak Adam, pahalanya akan digandakan sepuluh kali ganda sehinggalah tujuh ratus kali ganda. Allah berkata: kecuali puasa. Sesungguhnya ia milik Aku. Aku lah yang akan membahagi-bahagikan ganjaran pahalanya”.(Muslim).

Bagi sesetengah masyarakat, kedatangan Ramadhan sebagai peluang keemasan untuk menambah pendapatan sampingan dengan membuka gerai jualan juadah berbuka puasa. Disamping itu terdapat pelbagai iklan dan promosi menawarkan pakej berbuka puasa di merata-rata tempat termasuk hotel-hotel serta restoran-restoran mewah.

Apakah matlamat kita? Adakan kedatangan Ramadhan disambut sebagai pesta juadah atau ibadah?

Kita sedia maklum, sesungguhnya Ramadhan sebagai bulan mendidik jiwa. Kita perlu meningkatkan kesabaran dalam mengurus dan mengawal nafsu daripada perkara-perkara yang merosakkan pahala puasa sama ada melalui percakapan dan perbuatan seperti mengumpat, memfitnah, adu domba, bergaduh dan sebagainya.

Sebuah hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA berkata Nabi SAW bersabda bahawa Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau diajak bermusuhan, maka hendaklah ia berkata: sesungguhnya aku berpuasa hari ini” (al-Bukhari dan Muslim).

Termasuk dalam konteks mengawal nafsu ialah ketika membeli juadah berbuka di Bazar Ramadhan, yang dinanti-nantikan oleh segenap lapisan masyarakat. Pastinya pelbagai jenis juadah makanan dan minuman boleh diperolehi sepanjang bulan Ramadhan ini.

Maka bersederhana dan berpada-padalah ketika berbelanja membeli juadah berbuka puasa supaya wang lebihan dapat diperuntukkan kepada golongan yang memerlukan pula.

Kita juga diingatkan agar tidak menjadikan bazar Ramadhan sebagai pesta makanan dan medan untuk membalas dendam seharian menahan lapar dan dahaga. Kita sepatutnya meletakkan nilai dan hikmah puasa itu lebih tinggi berbanding nafsu makan yang tidak pernah puas.

Janganlah akhirnya nanti bazar Ramadhan menjadi bazir Ramadhan yang menyebabkan kita tewas dalam perjuangan melawan hawa nafsu semasa berbuka puasa.

Bulan Ramadhan: Pesta Juadah Atau Ibadah?

Pembaziran Kerana Nafsu & Boros

Kerisauan kita ini dibuktikan oleh beberapa fakta yang dinyatakan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal, yang merekodkan sebanyak 15,000 tan sisa makanan dibuang setiap hari sepanjang 2015.

Jumlah tersebut boleh memberi makan kepada 11 juta orang untuk 3 kali hidangan sehari. Paling mendukacitakan, jumlah sisa makanan akan meningkat sehingga 15% pada musim perayaan termasuk bulan Ramadhan. Sumber yang sama memaklumkan bahawa sebanyak 1/3 daripada makanan dibazirkan semasa proses penyediaan, pengeluaran dan penggunaan.

Kajian mendapati, satu rumah yang dihuni oleh 5 orang membelanjakan secara purata RM1,100 sebulan untuk makanan sahaja.

Sekiranya diambilkira 1/3 daripada makanan dibazirkan semasa proses tersebut, maka nilai makanan sebanyak RM360 dibuang ke dalam tong sampah setiap bulan. Adakah ini cerminan akhlak bagi seorang muslim?

Amalan membazir amat ditegah oleh Islam. Sudah pasti kita tidak mahu tergolong sebagai saudara Syaitan sepertimana yang dinyatakan dalam Firman Allah swt dalam surah al Israa’ ayat 27;
“Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”.

Tuntutan bersederhana ketika mengambil makanan telah dijelaskan menerusi firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 31;
“…dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas”.

Hadis yang diriwayatkan oleh Miqdam bin Ma’di Karib bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan”. (at-Tirmizi).

Cara Berbuka Yang Sihat

Sumber daripada portal Kementerian Kesihatan Malaysia menasihatkan supaya masyarakat tidak makan secara berlebihan ketika berbuka. Ini kerana selepas seharian berpuasa, aktiviti gastrik di dalam perut akan menurun pada tahap minimum dan meningkat ketika berbuka.

Sekiranya kita makan dengan banyak, peningkatan asid akan berlaku dengan mendadak. Keadaan ini boleh mengakibatkan ketidakselesaan dan menjejaskan kesihatan. Akibat kekenyangan, badan akan menjadi lesu, lantas mengundang rasa malas sehingga menguzurkan diri untuk beribadah di malam hari. Jika begitu setiap hari, bagaimana kita hendak merebut ganjaran dibulan Ramadhan?

Marilah kita mencontohi panduan berbuka puasa oleh Rasululullah SAW dengan makanan yang mudah dimakan dan dicerna. Hadis dari Anas Bin Malik RA menceritakan tentang amalan Rasulullah SAW ketika berbuka puasa yang bermaksud:
“Rasulullah SAW berbuka sebelum melakukan solat dengan rutab (kurma yang masih basah dan segar), dan jika tidak menemukan rutab, Baginda berbuka dengan kurma, dan jika tidak mendapat kurma, Baginda berbuka dengan meminum beberapa teguk air”. (Abu Daud dan al-Tirmizi).

Dalam sebuah hadis yang lain, baginda SAW menjelaskan dengan maksudnya
“Apabila dihidangkan makanan maka mulailah dengannya (makanan itu) sebelum kamu solat Maghrib dan janganlah kamu tergopoh-gapah ketika makan”. (al-Bukhari dan Muslim).

Oleh itu, perkara-perkara berikut hendaklah diberi perhatian,
  1. Umat Islam hendaklah menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan ini dengan penuh khusyuk dan mempunyai nilai ketakwaan yang tinggi kepada Allah SWT.
  2. Umat Islam hendaklah tidak menjadikan Ramadhan sebagai bulan yang membazir dalam membeli juadah makanan untuk berbuka dan bersahur.
  3. Umat Islam hendaklah sentiasa ingat bahawa bulan Ramadhan ini merupakan bulan untuk meraih sebanyak-banyak pahala dan keampunan yang disediakan oleh Allah SWT.
Bulan Ramadhan: Pesta Juadah Atau Ibadah?
“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat Ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas”. (Surah al-A’raf; 31).
Semoga Ramadhan tahun ini menjadi Bulan Ramadhan terbaik dalam hidup kita dan setiap amal dan ibadah diterima Allah SWT... Amiin.

8 comments - "Bulan Ramadhan: Pesta Juadah Atau Ibadah?"

Biasanya menjadi pesta bazir-mambazir kan BM..

Membazir le kalau pesta juadah

paridah delete icon 22:27

SEMOGA KITA BANYAK BERAMAL IBADAH DI BULAN RAMADAN MULIA...

tak dinafikan pergi bazar ramadan mmg seronok..jie pun selalu pergi..tapi nafsu membeli biar la secara sederhana..ckup la beli air kot..huhu

Assalammualaikum Bro BM..terima kasih perkongsian ini..dalam setiap yang kita lakukan lebih molek sederhana sahaja..puasa itu sepatutnya nendidik kita..dan moga madrasah ramadhan ini betul betul tarbiah segenap sudut pada diri kita..ameen,

Unknown delete icon 15:42

Setiap tahun macam tu kan, sampai bila kita ummah islam nak berubah. sedang kita duk berpesta berlumba-lumba berbuka dengan mewah ada saudara Islam kita sedang menahan kelaparan tiada makanan untuk berbuka

kalau hanya demi nafsu maka siasialah perbuatannya

bulan puasa makanan jadi hal utama

Komen anda amat-amat dihargai. Terima kasih bersama 'Blog BinMuhammad - “Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza”

p/s: Komen berserta link url aktif ( <a href=http://..... ) akan terus dianggap spam. Harap maklum

 
Copyright © 2015 BinMuhammad - Ilmu Dikongsi Bersama - All Rights Reserved - About Me - Policy - Disclaimer - Sitemap