بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
Dunia automotif merupakan salah satu industri yang semakin pantas menggunakan teknologi terkini yang menuju kearah kenderaan mesra alam dan selamat. Perubahan teknologi ini akan menyaksikan satu lagi evolusi perubahan baru dalam kehidupan manusia.

Kemunculan teknologi kenderaan elektrik, hidrogen dan autonomous mula memberi impak ke atas pengeluaran, perkhidmatan dan industri automotif itu sendiri secara amnya dan seterusnya akan merubah gaya hidup dan lanskap alam pada masa hadapan.

Impak Kereta Elektric (EV) dan Autonomous Cars

EV - Electric Vehicle

Jika sebelum ini kenderaan hibrid merupakan teknologi mesra alam yang paling gah tetapi kini ia mula disaingi oleh kenderaan elektrik (EV - Electric Vehicle). Walaupun kemudahan mengecas masih belum lengkap disediakan tetapi melalui sambutan hebat terhadap kereta elektrik Tesla Model 3 yang menerima tempahan melebihi 300K unit diseluruh dunia selepas pelancarannya telah memberi petanda awal akan permulaan penguasaan kenderaan EV dipasaran dunia.

Perkembangan terkini yang amat memeranjatkan dunia automotif. Apakah yang membuatkan Tesla Model 3 ini begitu berjaya berbanding Nissan Leaf sebagai kereta EV komersial pertama dunia?

Kelebihan kereta elektrik teknologi Tesla ini adalah kerana kemampuannya boleh bergerak sehingga jarak 400km dengan hanya menggunakan sekali kuasa bateri yang telah dicas penuh telah menjadikan ia sebuah kenderaan EV yang paling praktikal buat masa ini.

Ia jauh mengatasi pesaing-pesaingnya yang hanya mampu mencapai separuh dari pencapaian Model 3. Malah jarak ini akan semakin bertambah dalam beberapa tahun lagi!

Selain itu, tahap kesedaran orang ramai yang semakin tinggi tentang kepentingan menjaga alam sekitar melalui pengurangan pencemaran dari asap kenderaan bahan bakar fosil serta bunyi telah melonjakkan kenderaan EV sebagai pilihan terbaik.

Kereta Elektrik (EV) - Tesla Model 3

Perkembangan semasa ini amat digeruni oleh gergasi-gergasi automotif dunia yang lain kerana ia pasti akan mengganggu gugat jualan kenderaan konvensional mereka pada masa akan datang dan seterusnya mungkin akan tersungkur jika masih tidak mahu berubah mengikut perkembangan semasa ini.

Jenama Nokia dan Kodak adalah antara jenama gergasi pada zaman kegemilangan mereka namun akhirnya tenggelam dalam arus kemajuan menjadi bukti betapa jika terus selesa dengan keadaan semasa tanpa mahu berubah mengikut pembaharuan teknologi dan kehendak terkini... Anda akan ketinggalan dan akhirnya ditinggalkan.

AC - Autonomous Cars

Teknologi automotif juga bukan hanya bersaing hebat dalam kemajuan sumber guna kuasa tetapi kini sedang giat dibangunkan teknologi kenderaan pandu sendiri (AC - Autonomous Cars @ Self Driving Car). Ini bermakna, kereta tersebut boleh memandu sendiri tanpa kawalan manusia!

Apakah kelebihan kenderaan AC ini sehinggakan ianya begitu giat dibangunkan dan mendapat sokongan serta dorongan dari syarikat-syarikat IT seperti Google, Apple, Alibaba, Baidu, TenCent dan Xiaomi khasnya dalam pengeluaran kereta pandu sendiri ini?

Seperti mana Syarikat Uber walaupun tidak memiliki sebuah pun teksi hak milik mereka namun mampu menjadi syarikat teksi terbesar di dunia! Begitulah juga yang akan berlaku pada dunia automotif pada masa hadapan.

Inilah juga dijadikan rujukan dan haluan untuk perubahan dalam kehidupan, industri automotif dan perkhidmatan pada masa hadapan. Dunia tanpa sempadan, hanya dengan melalui komunikasi dalam talian!

Segalanya hanya di hujung jari maka telefon pintar (smartphone) menjadi alat yang paling penting mesti ada pada setiap manusia di masa hadapan. Kereta sudah tidak perlu lagi untuk dimiliki tetapi hanya perlu ada apabila ingin digunakan.

Hanya dengan menggunakan aplikasi di telefon pintar, anda hanya perlu memanggil kenderaan AC ini dan membayar mengikut jarak perjalanan. Tiada lagi keperluan tempat letak kereta malah mungkin lesen memandu kereta juga sudah tidak perlu kerana kereta tidak dipandu lagi oleh manusia.

Teknologi kenderaan AC amat canggih dan bukan hanya boleh bergerak sendiri tetapi juga mempunyai pelbagai ciri-ciri keselamatan yang tinggi sehingga mampu bergerak dengan efisyen serta rendah risiko kemalangan. Jutaan nyawa pasti akan berjaya diselamatkan dengan penggunaan kenderaan AC ini.

Ia merupakan langkah paling berkesan untuk mengurangkan kesesakan, mesra alam, cepat, selamat serta jimat penggunaan ruang, tenaga, masa dan wang!

Teknologi Autonomous Car - Kereta Pandu Sendiri

Bagaimanakah kenderaan AC ini berfungsi? Adakah ianya tiada stereng dan pedal? Segalanya akan terjawab pada tahun 2018 apabila model pertama kereta AC ini akan dikeluarkan.

Negara China mungkin menjadi tempat pertama di mana kereta ini akan berada di atas jalan. Ini memandangkan kerajaan China telah bersedia menggubal undang-undang membenarkan kereta pandu sendiri ini berada dijalanraya awam.

Jika ianya berjaya, hanya dalam masa yang singkat sahaja seluruh industri automotif di dunia ini akan mula merasai impak evolusi sebagaimana yang telah dirasai melalui kenderaan hibrid dan EV sebelum ini.

Adalah tidak mustahil pada satu hari nanti, kereta berkuasa fosil sudah tidak lagi kelihatan di garaj-garaj atau di hadapan rumah. Stesen-stesen minyak akan ditutup dan jalanraya kembali senyap dan lengang dengan hanya kenderaan EV serta AC sahaja yang kelihatan!

Dasar Automotif Negara

Negara kita baru sahaja bermula dengan Kenderaan EEV tetapi dunia sudah bersedia menerima kenderaan EV dan beberapa tahun lagi kenderaan AC pula. Bagaimana pula dengan Proton dan Perodua... Mampukah mereka mengikut arus teknologi semasa yang begitu pantas ini?

Sejarah Nokia dan Kodak menjadi teladan terbaik sekiranya kedua-dua syarikat automotif nasional ini ingin terus maju dan kekal bersaing dalam industri yang sungguh mencabar ini.

Syarikat-syarikat automotif dari China wajar dijadikan contoh terbaik bagaimana mereka berjaya berubah dengan pantas dan kini sedikit demi sedikit mula keluar dari pasaran tempatan untuk menakluki dunia!

Jika dahulu jenama barangan dari negara China diragui akan ketahanan, kualiti serta teknologinya tetapi kini, ianya semakin menjadi pilihan ramai. Seluruh pengeluar dan industri utama dunia mulai gerun dan perlu bergerak lebih pantas dengan teknologi yang lebih terkini.

Kereta Elektrik Prototype Proton Iriz EV
BinMuhammad

Kemajuan Teknologi Dan Kita

Walaupun segalanya tidak nampak mudah dan akan berlaku seperti apa yang dibayangkan, namun ianya sudah pun bermula. Di sekeliling kita, kini sudah terlihat akan perubahan ketara bagaimana teknologi mula merubah sedikit demi sedikit akan gaya dan cara hidup manusia.

Apa yang dikongsikan di sini hanyalah gambaran dan pendapat peribadi berdasarkan informasi semasa. Mungkin ianya tidak benar tetapi tidak mustahil berlaku. Perkembangan atau kemajuan teknologi semasa ini tidak boleh kita abaikan serta perlulah peka kerana ianya mampu mengubah mereka yang terleka untuk tersungkur dan gagal...

3 comments - "Impak Kereta Elektric (EV) dan Autonomous Cars"

jamkho delete icon 10:33

kereta tanpa pandu sangat menarik

Memang menarik! Harap ada peluang dapat naik satu hari nanti.

Komen anda amat-amat dihargai. Terima kasih bersama 'Blog BinMuhammad - “Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza”

p/s: Komen berserta link url aktif ( <a href=http://..... ) akan terus dianggap spam. Harap maklum

 
Copyright © 2015 BinMuhammad - Ilmu Dikongsi Bersama - All Rights Reserved - About Me - Policy - Disclaimer - Sitemap