بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
Diari Kisah Hidupku (DKH - Bab Pengenalan): 26 Feb 1975, Seorang ibu yang sedang sarat mengandung masih melakukan kerja rumah seperti biasa. Memasak dan mengemas, membasuh baju. Ketika zaman di mana masih belum ada kemudahan tenaga elektrik dan air paip, segalanya perlu menggunakan kudrat tulang empat kerat.

Kelahiran anak ke enam ini tidak dijangkakan berikutan kali terakhir melahirkan anak ke lima adalah sembilan tahun yang lalu. Satu jangka masa yang amat lama dan dikala wanita tersebut sudah menjengah usia 40an.

Kehidupan dikampung yang masih serba kekurangan serta jauh dari bandar menyukarkan si ibu untuk mendapat pemeriksaan kesihatan yang sewajarnya. Mujurlah klinik bidan kampung yang jaraknya agak berhampiran (dalam 2 km) dapat dijadikan tempat rujukan.

Oleh kerana jarak kelahiran yang agak jauh serta faktor usia, si ibu mengalami sedikit kesukaran. Kandungan kali ini agak luar biasa dirasakannya. Sehari sebelum itu beliau terasa begitu sakit dan terasa pergerakan bayi kandungannya agak agresif. 

Mengandugkan anak-anaknya sebelum ini, semuanya tidak mengalami sebarang masalah serta mudah dilahirkan tetapi kali ini ternyata agak berbeza sekali.

Kesakitan

Pada keesokan harinya 27 Feb 1975, si bapa terpaksa memanggil bidan klinik untuk melihat keadaan istrimya yang semalaman tidak dapat tidur akibat menanggung kesakitan. Tanda-tanda untuk melahirkan anak masih belum kelihatan tetapi sakitnya teramat menyiksakan.

Bidan klinik yang datang juga sudah habis ikhtiar bagaimana untuk meredakan kesakitan, akhirnya bidan mengesyorkan agak si ibu dihantar ke hospital sebagai langkah keselamatan.

Bagaimana nak hantar si ibu ke hospital yang terletak lebih 30km dari kampung? Pada masa itu mana ada penduduk kampung yang berkereta. Maka, bidan segera pulang ke klinik untuk menelefon pihak hospital agar menghantar ambulan untuk mengambil si ibu.

Kini timbul pula masalah bagaimana hendak membawa si ibu keluar dari kampung untuk ke jalan besar. Si ibu sudah tidak mampu lagi untuk berjalan lagi... Jarak untuk ke jalan besar pula lebih kurang satu kilometer dengan melalui jalan sempit yang hanya boleh dilalui basikal.

Si bapa bersama dua orang anak lelakinya serta pertolongan jiran-jiran terpaksa mengusung isterinya di atas pengusung papan yang dibuat sementara untuk diusung ke jalan besar.

Tidak lama menunggu, ambulan pun tiba. Pergilah si ibu sendirian menaiki ambulan ke hospital. Si bapa tidak dapat turut serta dan hanya akan menyusul kemudian.

Sampai sahaja di hospital, si ibu terus ditempatkan di wad dan pemeriksaan ke atas kandungan dilakukan. Ternyata kandungan tidak bermasalah namun pergerakan bayi yang agak agresif bagaikan tidak sabar untuk melihat dunia begitu menyiksakan si ibu yang agak berusia.

Pada petang itu, Bayi dalam kandungan mula kembali tenang. Si ibu dapat berehat dengan aman sehinggalah ke waktu malam. Akhirnya dapat tidur lena dan melepaskan segala lelahnya pada malam itu.

Tidak Sabar Melihat Dunia

Keesokan paginya 28 Feb 1975, selepas si ibu bersarapan, si bapa pun sampai bersorangan. Melihat keadaaan si ibu yang telah kembali sihat membuatkan bapa tersenyum. Menurut doktor, kandungan tiada masalah cuma si ibu yang sedikit lemah akibat faktor usia dan jangkamasa tidak mengandung yang lama membuatkan badan si ibu kurang kuat untuk menanggung beban.

Oleh kerana jangkaan bersalin hampir dua minggu lagi, maka si ibu dibenarkan pulang selepas waktu tengahari nanti. Namun takdir menentukan segalanya... Setengah jam sebelum jam 12 tengahari, ketika si bapa sedang membuat urusan untuk keluar, si ibu kembali mengerag kesakitan. Kali ini dirasakan bukan sahaja bayi agresif malah mula memberi tanda-tanda untuk keluar.

Si ibu segara dibawa ke bilik bersalin. Akhirnya tepat jam 1.10 tengahari... Lahirlah seorang bayi lelaki yang sempurna dan sihat. Si bapa yang cukup gelisah sebelum itu tersenyum gembira lalu melaungkan azan di telinga bayi. Walaupun si ibu yang masih lemah namun di wajahnya jelas terpancar keceriaan.

Diari Kisah Hidupku (DKH) - Melihat Dunia Ini

Diari Kisah Hidupku

Hospital Lama Teluk Intan yang berada di pinggir Sungai Perak dan kini sudah tidak wujud lagi (di robohkan dan berpindah ke Hospital baru di Jalan Changkat Jong). Kini, sebahagian tapaknya telah dijadikan tapak Pasar Besar Teluk Intan. Ya... di situlah aku dilahirkan... Pertama kali melihat dunia ini

Aku merupakan satu-satunya ahli keluargaku yang lahir di hospital Teluk Intan kerana yang lain semuanya lahir di rumah berbidankan bidan klinik desa.

Itulah permulaan hidupku... dan Dairi Kisah Hidupku (DKH) akan terus dicoretkan di sini  sebagai kenangan untuk tatapan dan ingatanku serta secebis perkongsian buat anda semua... Semoga apa yang baik nanti dijadikan teladan, dan yang buruk dijadikan sempadan...

Baca seterusnya : DKH - Bab 1


p/s: Al-fatihah buat arwah Ayah yang dikasihi dan semoga ibuku yang disayangi dikurniakan kesihatan dan keberkatan berpanjangan...

5 comments - "Diari Kisah Hidupku (DKH) - Melihat Dunia Ini"

Selamat Hari Lahir BM!

Pengorbanan ibukan BM..setelah jarak kehamilan yang agak jauh pasti ibu ayh BM sangat gembira menanti kelahiran BM..alhamdulillah :)

Mrs. A delete icon 00:00

Al-fatihah buat arwah ayah BM.
Adik- beradik Mrs. A semua lahir Kat rumah.

TRAC delete icon 12:13

salam sejahtera buat Bm dan Kelurga salam kenal rizal di ujung pulo sumatrea aceh

Subhanallah walhamdulillah... salam perkenalan sahabat ku BM... :)

Semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat ke atas roh ayah BM dan dikurniakan kesihatan yg baik buat ibu... aamiin ya Rabbalalaamiin.

Komen anda amat-amat dihargai. Terima kasih bersama 'Blog BinMuhammad - “Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza”

p/s: Komen berserta link url aktif ( <a href=http://..... ) akan terus dianggap spam. Harap maklum

 
Copyright © 2015 BinMuhammad - Ilmu Dikongsi Bersama - All Rights Reserved - About Me - Policy - Disclaimer - Sitemap