بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha (Eid ul Adha @ Idul Adha) 1436H/2015 kepada semua umat Islam di seluruh dunia dan Malaysia khususnya. Semoga Eid Mubarak tahun ini membawa kebahagian dan keberkatan dalam hidup kita semua.

Kepada semua jemaah haji pada tahun ini, di doakan semoga selamat dan sejahtera serta dikurniakan juga kesihatan dan kekuatan agar dapat menjalankan ibadah rukun Islam ke-5 ini dengan sempurna. InsyaAllah, Semoga semua akan beroleh haji mabrur...  amiin.

Kepada yang melakukan ibadah qurban, semoga segalanya berjalan dengan lancar, beroleh keberkatan dan diterima Allah SWT.

Bersama kita hayati Hari Raya Aidiladha (Eid ul Adha) atau Hari Raya Qurban ini dengan memahami maksud sebenar ianya disambut. Semoga kita semua beroleh rahmat dan diberkati Allah SWT.

Salam Hari Raya Aidiladha 1436H/2015

Perayaan Aidiladha

Aidiladha merupakan perayaan yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia. Ia merupakan sambutan terbesar dan teristimewa dalam agama Islam selain dari Aidilfitri.

Sambutan Hari Raya Aidiladha ini amat istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail AS dalam memenuhi perintah Allah SWT.

Aidiladha disambut pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah pada setiap tahun Hijrah. Bermula dengan takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah sehinggalah tiga hari berikutnya.

Solat sunat Aidiladha dan khutbah pula dilakukan pada pagi 10 Zulhjjah dan kemudian dilangsungkan ibadah korban yang boleh dilakukan pada siang 10, 11, 12 atau 13 Zulhijjah.

Ibadah Qurban

Ibadah Qurban - Aidiladha
"Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah." - (Surah al-Kauthar: Ayat 2)

Imam Syafie berpendapat hukum melakukan ibadah qurban ini adalah SUNAT Muakkad iaitu sunat yang amat digalakkan atau dituntut ke atas setiap individu Muslim yang merdeka, berakal, baligh lagi rasyid serta berkemampuan melakukannya sama ada sedang mengerjakan haji ataupun tidak sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Hukum MAKRUH pula jika tidak melakukan ibadah ini bagi orang yang mampu.

Hukum qurban ini boleh menjadikan WAJIB jika seseorang itu telah bernazar untuk melakukannnya atau telah membuat penentuan (at-ta'yin) untuk melaksanakannya seperti seseorang berkata "lembu ini aku jadikan qurban". Jika tidak dilakukan dalam keadaan ini maka hukumnya adalah haram. Daging qurban wajib (nazar) tidak dibenarkan untuk dimakan oleh yang empunya qurban dan tanggungannya.

Memahami Ibadah Qurban

Qurban atau Udhiah bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an'am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing pada Hari Nahr atau Hari Raya Haji (10 Zulhijjah) dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.

Aiduladha dengan pensyariatan ibadah korban adalah isyarat yang jelas daripada Allah mengenai keperluan berkorban tenaga, masa dan harta benda demi agama Allah SWT.

Tanpa pengorbanan agama, fikiran dan harta benda, tidak mungkin syariat Allah SWT dapat ditegakkan. Renungkanlah sejarah pengorbanan agong Nabi Ibrahim AS yang sanggup menyembelih Nabi Ismail AS, satu-satunya anak kesayangan baginda semata-mata pengorbanan kepada Allah SWT.

Inilah satu contoh seorang bapa yang berjaya membina sebuah keluarga yang cemerlang. Demikian juga, kepatuhan Hajar kepada suaminya Nabi Ibrahim untuk tinggal keseorangan di tanah gersang Mekah, merupakan model isteri mithali yang sanggup mengorbankan jiwa raga semata-mata kepatuhan kepada perintah Allah SWT dan Nabi-Nya.

Demikian juga kerelaan seorang anak iaitu Nabi Ismail AS untuk disembelih oleh bapanya, semata-mata kerana perintah Allah SWT adalah merupakan isyarat bahawa berkorban sebenarnya tidak melihat kepada usia.

Ini bermakna samada golongan tua, dewasa, belia, lelaki dan wanita, perlu bersedia untuk berkorban apa sahaja demi tertegaknya akidah tauhid dan terlaksananya syariat Allah SWT. Inilah intipati pengajaran daripada pengorbanan agong yang diterokai oleh Nabi Ibrahim AS, isteri dan anaknya alahimussolatuwassalam. - Wallahualam : sumber

"Setelah keduanya berserah diri, dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. Serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi itu. Demikianlah sebenarnya kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya nama yang harum dalam kalangan orang yang datang kemudian." - (As-Saafaat ayat 103-107)

"Darah yang mengalir dari binatang yang dikorbankan juga daging yang diperolehi dari binatang tersebut, sekali-kali tidak sampai kepada Allah. Akan tetapi yang sampai kepada Allah adalah ketakwaan dalam diri kamu.

Begitulah Allah permudahkan binatang-binatang itu untuk kamu agar kamu membesarkan Allah atas apa yang dia anugerahkan kepada kamu dan berilah khabar gembira kepada orang yang melakukan kebaikan " -.(Surah al-Haj : 37) 

Ganjaran Melakukan Ibadah Qurban

Daripada Aisyah bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "bahawa tidak ada amalan anak Adam (manusia) di hari raya haji yang paling disukai Allah selain daripada menyembelih korban.

Ternakkan yang dikorbankan itu akan datang kepada Mereka yang melakukannya pada hari kiamat seperti keadaan asalnya iaitu, lengkap dengan tanduknya, bulunya, kukunya, darah korban itu lebih dahulu jatuh kesuatu tempat yang disediakan Allah sebelum dia jatuh kebumi (yakni pahalanya disegerakan Allah).

Maka dengan sebab itu hendaklah kamu dengan rela dan ikhlas hati melaksanakannya untuk keuntungan diri sendiri " -.(Hadis Riwayat Tirmizi)


Salam Aidiladha

Salam Hari Raya Aidiladha ikhlas dari BinMuhammad buat sahabat dan tetamu blog ini. Bersama kita mempertingkatkan serta memperkasakan keimanan dan amalan agar menjadi umat Islam yang lebih baik dari semalam.

Selamat bercuti dan berbahagia disamping insan-insan tersayang. Eratkan silaturrahim sesama saudara mara dan sesama saudara seIslam...

Salam Hari Raya Aidiladha 1436H/2015
Salam Hari Raya Aidiladha 1436H/2015

8 comments - "Selamat Hari Raya Aidiladha 1436H/2015"

salam aidiladha kepada BM sekeluarga..

Salam Aidiladha buat BM sekeluarga. Semoga Allah sentiasa memberkati kehidupan kita semua di dunia dan akhirat... aamiin.

Salam Aidiladha juga buat BM dan sekeluarga. Semoga hidup sentiasa diberkati Allah. Amiin

Etuza delete icon 22:58

Subanahallah..maha besar Allah kurniakan kita hari raya korban yang lebih menuntut kita bersedekah

Etuza delete icon 23:19

kad hari raya haji tu sangat lawa..semoga raya hai ini membawa banyak hikmah

Unknown delete icon 21:30

Salam Aidiladha buat BM sekeluarga

Salam aidiladha BM even dah terlewat untuk wish ☺

dah habis raya dah ni =)
PIL saya pun tak lama lagi akan pulang
terasa rindu pula sebab dah lama tak bertemu diorang =)

Komen anda amat-amat dihargai. Terima kasih bersama 'Blog BinMuhammad - “Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza”

p/s: Komen berserta link url aktif ( <a href=http://..... ) akan terus dianggap spam. Harap maklum

 
Copyright © 2015 BinMuhammad - Ilmu Dikongsi Bersama - All Rights Reserved - About Me - Policy - Disclaimer - Sitemap